Wednesday 18 July 2012

PENGENALAN TGFU


Teaching Games for Understanding (TGfU) dalam pengertian Bahasa Malaysia ialah mengajar memahami permainan iaitu guru mengajar dan pelajar belajar memahami konsep permainan sambil bermain. TGfU dipelopori oleh Bunker dan Thorpe (1982) yang bermatlamat untuk memperkembangkan kemahiran kognitif dan psikomotor individu dalam sukan berdasarkan penyelesaian masalah dan membuat keputusan. Pendekatan TGfU adalah kepada pemahaman taktikal dan strategi bermain sebelum kepada penguasaan teknik kemahiran (Araújo et al, 2007; Bunker & Thorpe, 1982; Griffin, Mitchell, & Oslin, 1997). Pelajar perlu memahami mengapa, bila dan di mana untuk melakukan sesuatu taktik dan strategi dalam permainan sebelum mereka belajar bagaimana menguasai kemahiran.

TGfU juga menekankan konsep apresiasi dalam permainan kerana pendekatan ini melibatkan kesedaran taktikal sebagai asas membuat keputusan semasa bermain. Sehubungan itu, pelajar perlu memahami strategi tentang mengapa sesuatu permainan itu perlu dipelajari sebelum mereka belajar bagaimana menguasai sesuatu kemahiran. Dengan itu, pelajar menyedari bila dan mengapa kemahiran diperlukan dalam konteks bermain.

Falsafah TGfU ialah pelajar perlu tahu dan faham bagaimana untuk menjayakan sesuatu permainan serta berkebolehan mengaplikasikan kemahiran pergerakan/fizikal sambil belajar membuat keputusan ketika bermain. Permainan disertai dengan beberapa soalan berbimbing bagi menggalakkan pelajar menguasai permainan melalui kaedah menyelesaikan masalah. Mengalihkan konsep mengajar kemahiran secara berpusatkan latihan atau individu kepada pendekatan mengajar berpusatkan strategi bermain secara berkumpulan. 

No comments:

Post a Comment